Jadi Ninja di 4 Tempat Tarikan Jepun Ni

24th July 2019

by Azura

Ninja terkenal sebagai pahlawan bayang-bayang yang dilatih dalam seni mempertahankan diri, pembunuhan dan juga penipuan. Bagi peminat-peminat ninja, anda boleh datang dan melihat sendiri tempat-tempat yang berkaitan dengan sejarah ninja. Sama ada anda adalah peminat muzium yang dipenuhi artifak-artifak purba atau lebih gemar bersiar-siar di kawasan yang mempunyai kaitan dengan ninja, lokasi-lokasi yang dikongsikan di dalam entri ini merupakan lokasi terbaik yang disediakan untuk anda merasai sendiri pengalaman dan aura seorang ninja.

Iga-ryu Ninja Village and Museum

Alamat: 117 Uenomarunouchi, Iga-shi, Mie-ken 518-0873, Japan
Tel: +81 595-23-0311
http://www.iganinja.jp/

text
Sumber: japanguide.com

Ninja Museum or Igaryu terletak di wilayah Mie, lebih kurang dua jam daripada Osaka Nanba Station dengan menaiki tren.Kompleks kecil ini mempunyai banyak tarikan untuk para pelancong seperti ninja show, sebuah galeri yang dipenuhi dengan video-video yang menunjukkan demonstrasi teknik pergerakan ninja, muzium artifak dan juga sebuah rumah yang dipenuhi dengan perangkap dan lorong palsu bertujuan untuk menghalang musuh daripada mencuri bahan peledak. Anda boleh meluangkan masa di dalam kawasan ini untuk meneroka tentang rumah ninja, dewan tradisi dan juga slot teater. Di samping dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga, anda juga dapat mempelajari serba sedikit tentang sejarah dan tradisi pejuang Jepun terdahulu. Pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk pergi ke kedai cenderamata yang disediakan untuk membeli barangan-barangan yang berkaitan dengan ninja yang mungkin tidak dapat diperoleh di tempat lain.

Togakushi Kids' Ninja Village

Alamat: 3193 Togakushi, Nagano-shi, Nagano-ken 381-4101, Japan
http://www.ninjamura.com/english

text
Sumber: snowmonkeyresort

Dibuka bermula pada hujung April sehingga penghujung November, anda boleh sampai ke Togakushi Kids' Ninja Village dengan menaiki kereta, daripada Nagano Station dan perjalanan ini akan mengambil masa selama sejam. Kawasan ini sememangnya dibina khas untuk kanak-kanak yang berminat tentang seni bushido purba. Tempat ini juga dikenali sebagai Chibiko Ninja Mura, ia menawarkan pelbagai aktiviti dan tarikan yang boleh dicuba sendiri oleh para pengunjung. Bahagian yang paling menarik tumpuan ialah, anda boleh menyewa kostum-kostum untuk anda dan anak-anak anda. Apabila berkunjung ke sini, anda berasa seolah-olah sedang menuntut di Togakushi-School of Ninja. Taman ini akan sentiasa menjadi tumpuan para pelancong kerana ia sering dimeriahkan dengan pelbagai pertandingan, acara khas serta program-program istimewa yang disediakan untuk hiburan para pengunjung.

Togakushi Ninpo Karakuri Yashiki (Ninja Trick House)

Alamat: 3688-12 Togakushi, Nagano, 381-4101, Japan
Tel: +81 26-254-2395
https://www.togakushi-ninja.com/

text
Sumber: myoko-nagano/tagokushi

Bagi aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar dan lasak, tidak kira untuk kanak-kanak atau orang dewasa, anda perlu melawat ke Togakushi Ninpo Karakuri Yashiki yang terletak di kawasan yang sama seperti Tagokushi Kids’ Ninja Village. Togakushi Ninpo Karakuri Yashiki juga dikenali sebagai Ninja Trick House. Ninja Trick House menawarkan pengalaman yang mendebarkan dengan melihat dan merasai sendiri perasaan berada di dalam kediaman klasik seorang ninja.Di kawasan ini juga terdapat sebuah muzium tentang School of The Hidden Door atau dikenali sebagai Togakure-ryu yang mempunyai lebih 500 peralatan dan 200 panel yang dilengkapi dengan penerangan, gambar-gambar serta video tentang tradisi kehidupan ninja pada zaman Feudal Jepun. Anda juga boleh melawat ke Togakushi Shrine, sebuah bangunan lama yang menjadi tempat sembahyang bagi ninja pada zaman dahulu.

Koka Ninja Village

Alamat: 394 Kokacho Oki, Kōka-shi, Shiga-ken 520-3405, Japan
Tel: +81 748-88-5000
http://koka.ninpou.jp/

text
Sumber: japanguide.com

Anda boleh menerokai cara hidup ninja di sebuah kampung yang agak terasing, Koka Ninja Village. Rasai sendiri aktiviti-aktiviti yang melibatkan ninja seperti ninja trick house, muzium ninja, ruangan yang mempunyai pelbagai halangan dan juga sebuah kolam. Di kolam ini anda boleh mencuba untuk berjalan di atas air seperti ninja yang diceritakan di dalam cerita rakyat. Kampung ini menyediakan pelbagai jenis aktiviti dan kebanyakan aktiviti adalah sesuai untuk kanak-kanak, jadi jangan lepaskan peluang untuk membawa adik-adik atau anak-anak anda untuk merasai pengalaman menjadi seorang ninja. Sebelum berkunjung ke sini, anda boleh menyemak senarai diskaun yang ditawarkan pada laman web yang disediakan.

jomjapan.com is a product of
Asuma Travel Sdn Bhd
Company No : 1310173-P
15-1A, Jalan Pandan 3/10, Pandan Jaya
55100 Kuala Lumpur, Malaysia
+603-2856 8464
hello@jomjapan.com
JomJapan株式会社 [JomJapan Inc.]
Company No : 30106-01-055959
Level 9, Building B, Ariake Frontier Building,
3-7-26, Ariake, Koto-ku, Tokyo
〒135-0063
東京都江東区有明3-7-26
有明フロンティアビルB棟9階
+8150 5532 2124
admin@jomjapan.com