Fantasi di Furano - Ningle Terrace

14th April 2020

by Azura

Furano tersenarai dalam 10 tempat tercantik di Jepun tidak mengira musim. Furano dihiasai indah dengan lautan bunga lavendar pada musim panas dan diliputi lereng ski putih pada musim sejuk. Selain daripada keunikan ini, Furano mempunyai satu hidden gem yang ramai tidak tahu; Ningle Terrace. Ningle terrace terdiri daripada beberapa buah pondok yang tersembunyi di bahagian dalam hutan bersebelahan dengan resort terkenal di Furano, New Furano Prince Hotel. Nama “Ningle Terrace” merujuk kepada buku bertajuk Ningle yang ditulis oleh So Kuramoto. Berdasarkan gambaran Kuramoto di dalam buku tersebut, Ningle Terrace memberikan pengalaman yang sama seperti yang diceritakan di dalam buku kanak-kanak.

text
Sumber: Carefreetraveler

Ningle Terrace mula dibuka pada tahun 1995 dan lamannya dijadikan sebagai tempat untuk menjual kraftangan yang dihasilkan oleh masyarakat tempatan. Selain itu, tempat ini juga sering menjadi lokasi pilihan pengarah drama-drama tempatan disebabkan suasana cantik yang dimiliki. Bagi peminat drama Jepun, anda perlu tahu bahawa tempat ini menjual pelbagai barangan daripada drama-drama yang pernah menjalani penggambaran di sini, seperti Yasashi Jikan dan From the North Country. Pokok pain yang mengelilingi pondok-pondok ini menghasilkan suasana yang indah terutamanya pada waktu malam apabila kawasan gelap ini dihiasi dengan lampu. Anda mesti tertanya-tanya bagaimana untuk sampai ke tempat ini, usah risau, anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi atau memandu kenderaan sendiri. Jaraknya hanya 10 minit dengan menaiki kereta daripada JR Furano Station.

text
Ningle Terrace semasa musim sejuk. Sumber: tripadvisor

Antara barangan kraftangan yang boleh didapati disini ialah tembikar, barangan kemas, seni kertas, seni kaca dan macam-macam lagi. Kraftangan yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri yang menggambarkan Furano dimana barangan yang dihasilkan adalah berasaskan bahan semula jadi seperti kayu. Walaupun sesetengah kraftangan mempunyai ciri-ciri landskap bandar yang mempamerkan bunga-bunga popular di Furano, namun ada juga yang menggunakan tema ala-ala Hokkaido dengan mempamerkan konsep salji pada kraftangan mereka seperti kepingan salji kaca dan rantai. Harga-harga kraftangan disini adalah bersesuaian dengan usaha dan masa yang digunakan bagi menyiapkan sesuatu barang.

text
Sumber: cavinteo.blogspot.com

Ningle Terrace bukan hanya tempat untuk menjual barangan seni yang dihasilkan oleh masyarakat tempatan, tapi ia juga adalah tempat untuk pengunjung mencuba hands-on workshop yang disediakan. Kelas-kelas yang ditawarkan termasuk peluang untuk mempelajari penghasilan lilin menggunakan kaedah tradisional Jepun, pembuatan boneka kayu, penghasilan kaleidoskop dan juga seni-seni kertas. Kelas-kelas ini boleh dihadiri di Ningle Atelier dan anda perlu membuat tempahan terlebih dahulu.

Suasana romantik di Ningle Terrace menjadikannya sebagai salah satu tempat tumpuan khususnya pada waktu petang. Waktu malam adalah masa yang paling sesuai untuk datang ke sini kerana apabila pondok-pondok diterangi dengan cahaya lampu akan menghasilkan suasana seolah-olah anda dikelilingi fairy lights.

text
Sumber: Hokkaidotripguide

Jika anda datang ke Furano semasa musim sejuk, anda boleh pergi ke snow village yang terletak di seberang Ningle Terrace. Kampung ini dipanggil Furano Kankanmura dan biasanya dibuka bermula hujung Disember sehingga awal Mac. Kawasan ini sangat sesuai untuk diabadikan di dalam lensa kamera anda kerana latar belakang lokasinya yang amat mengagumkan. Anda boleh bersiar-siar di sekitar kawasan salji ini sambil mengambil gambar. Di bahagian sebelah kiri kampung ini mempunyai satu tempat untuk anda mencuba tiub salji. Antara aktiviti lain yang anda boleh lakukan di sini ialah aktiviti meluncur menaiki banana boat.

text
Sumber: discoverjapanwithkids.blogspot.com

text
A photo by Sarah A Haselle

Jika anda sukakan suasana yang tenang, sesuatu yang berbeza ditemani dengan pemandangan yang indah, pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk datang ke sini.

Info:
Kawasan: Furano
Tel: 0167-22-1111
Alamat: New Furano Prince Hotel nai, Naka-Goryou, Furano-shi (Google map)
Waktu beroperasi: 12:00PM - 8:45PM , 1 Julai - 31 Ogos(Summer) 10:00AM - 8:45PM
*Waktu beroperasi mungkin berubah mengikut keadaan cuaca semasa.

jomjapan.com is a product of
Asuma Travel Sdn Bhd
Company No : 1310173-P
15-1A, Jalan Pandan 3/10, Pandan Jaya
55100 Kuala Lumpur, Malaysia
+603-2856 8464
hello@jomjapan.com
JomJapan株式会社 [JomJapan Inc.]
Company No : 30106-01-055959
Level 9, Building B, Ariake Frontier Building,
3-7-26, Ariake, Koto-ku, Tokyo
〒135-0063
東京都江東区有明3-7-26
有明フロンティアビルB棟9階
+8150 5532 2124
admin@jomjapan.com